|
Rejab boleh dikatakan sebagai bulan yang ditunggu kebanyakan umat Islam
kerana sesiapa yang berpuasa dipercayai mendapat fadilat yang sangat besar.Jadi,
dalam artikel minggu ini, saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai bulan
Rejab dan berharap sedikit sebanyak ia dapat menjawab persoalan individu yang
bertanyakan kepada saya mengenai kelebihan bulan ini.Dengan penjelasan ini
juga, saya harap kita sama-sama dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan
paling penting tahu mengenai apa yang kita laksanakan.
Pertamanya, elok jika saya bawakan dalil al-Quran mengenai keistimewaan
bulan Rejab ini. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36,
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua
belas bulan, (demikian) di dalam Kitab Allah, sejak hari Dia menjadikan semua
langit dan bumi. Daripadanya adalah empat yang dihormati. Demikianlah agama
yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada bulan-bulan itu…”
Prof
Dr Hamka dalam Tafsir Al-Azhar menafsirkan ayat ini yang bermaksud:
“Maka setelah bangsa Arab memeluk agama Tauhid, agama
Hanif, yang dikenali sebagai Islam, yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim dan
Ismail, diadakan empat bulan yang dihormati. Dihormati itu kerana pada
keempat-empat bulan itu tidak boleh berperang dan tidak boleh balas dendam.
Empat bulan itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. tiga berturut-turut,
dan yang satu lagi ialah bulan Rejab (bulan ketujuh).”
Dengan
penerangan yang diberikan oleh Prof Dr Hamka, keistimewaan bulan Rejab sama
saja dengan tiga bulan yang lain iaitu Zulkaedah iaitu bulan untuk
mempersiapkan diri untuk pergi menunaikan haji dan pada bulan seterusnya iaitu
Zulhijjah. Kemudian, bermulalah bulan Muharam sebagai pembuka tahun baru dalam
kalendar Islam yang sinonim dengan peristiwa Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke
Madinah.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawasanya beliau berkata:
“Rasulullah SAW apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda SAW
berdoa; Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab
dan Syaaban dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadan. (Hadis Riwayat
Imam Ahmad dan Ath-Thabarani)
Malah,
Abu Daud meriwayatkan bahawa Al Allamah Ibnu Hajar dalam tulisannya menyatakan
Baginda SAW ‘memandubkan’ (sunat) berpuasa di bulan Haram. Berpuasa dalam bulan
Rejab adalah digalakkan tetapi tidak ada satupun hadis sahih membuktikan bahawa
berpuasa pada hari tertentu dalam bulan Rejab, akan mendapat ganjaran istimewa.
Ahli
panel fatwa Islam-Online, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, ketika diminta memberi
fatwa mengenai adakah berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bidaah,
menyatakan bahawasanya berpuasa di dalam bulan Rejab adalah maqbul (diterima) dan
mustahab (sunat), ke atas semua perkara. Tetapi Rasulullah SAW tidak berpuasa
satu bulan penuh melainkan hanya pada bulan Ramadan.Malah, walaupun Baginda SAW
banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya.
Dalam
hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud menyatakan bahawasanya:
“Baginda
SAW berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak berbuka, Baginda berbuka
sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa.” Al-Qaradawi tegas mengatakan
bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram termasuklah bulan Rejab
tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Syaaban kerana ini tidak dilakukan oleh
Rasulullah SAW mahupun para sahabat.
Syeikh
Muhammad Mutawali Al-Syarawi dalam fatwanya menjawab persoalan mengenai puasa
sunat menyenaraikan lapan jenis puasa yang beliau sifat sebagai ‘puasa yang
orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah’ iaitu:
Pertama, puasa hari Arafah (9 Zulhijjah khusus bagi mereka yang
tidak menunaikan Haji).
Kedua, puasa hari Asyura (10 Muharam).
Ketiga, puasa enam hari di dalam bulan Syawal.
Keempat, puasa hari-hari Putih di dalam bulan-bulan Islam iaitu
pada hari ke-13,14 dan 15.
Kelima, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu.
Keenam, berpuasa di dalam bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
Ketujuh, berpuasa sembilan hari daripada bulan Zulhijjah (dari 1
hingga 9 Zulhijjah).
Kelapan, banyakkan berpuasa di dalam Syaaban.
Maka
di sini, dapat saya simpulkan bahawa Rejab adalah bulan yang mulia sebagaimana
bulan-bulan haram yang lain. Dalam bulan Rejab ini sama-samalah kita
meninggalkan perbuatan yang dilarang dan diharamkan seperti menzalimi diri
sendiri, serta memperbanyak ketaatan kepada Allah SWT dan memperbanyakkan
membuat amal kebaikan. Marilah kita mempersiapkan diri untuk memasuki bulan
Ramadan yang bakal menjelma dua bulan daripada sekarang agar termasuk sebagai
Islam yang berjaya di bulan tersebut dan memperoleh Lailatul Qadar. Pada bulan
ini jugalah berlakunya peristiwa besar seperti peristiwa Israk dan Mikraj pada
tanggal 27 Rejab di mana yang memaktubkan solat fardu sebagai ibadat wajib yang
perlu dilaksanakan umat Islam. Berpuasalah dalam bulan ini sekadar yang mampu
tetapi janganlah sehingga melampaui batas.
No comments:
Post a Comment