Buku dan kertas berselerak di merata tempat. Entah kenapa hari ini tiada ilham untuk dia menulis. Dia memandang sekeliling cuba mencari ilham tetapi buntu. Diasah kembali pensel yang sememangnya sudah tajam, entah untuk yang keberapa kali asahan itu dilakukan. Mata pensel sudah kembali tajam tetapi ilham untuk menulis masih lagi tiada. Dia kecewa lalu meletakkan sebentar penselnya itu dan bingkas bangun dari tempat duduknya. Perlahan-lahan langkahnya menghampiri jendela. Jendela yang sering menjadi cermin untuk dia melihat dunia luar yang penuh dengan kacau-bilau. Matanya pantas menangkap bangunan yang sudah musnah dihentam bom dan mayat bergelimpangan di merata tempat.
Manusia yang tidak berdosa, yang tidak tahu menahu perkara disekelilinginya dan manusia yang berani untuk mempertahankan hidupnya dari musnah habis ditenggelami dengan hujan peluru yang tidak pernah berhenti walaupun sesaat. Dia mengeluh kecil dengan kerenah manusia yang tidak tahu watak apa yang dilakonkan di pentas dunia ini. Tidak tahukah mereka nanti, mereka akan disoal dengan setiap apa yang dilakukan? Tatkala itu telinganya cepat menangkap suara kegembiraan dari sekumpulan manusia. Dialihkan pandangannya mencari suara itu lantas matanya tertumpu pada sekumpulan kanak-kanak yang sedang seronok berlari ke sana ke mari. Hatinya berbunga riang melihat kegembiraan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak itu.
Apakah mereka tahu apa yang terjadi sekarang ini? Terdetik di hatinya. Ah! Budak-budak, mereka tahu apa hanya main saja, bisik hatinya. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu dan dengan kelam-kabutnya dia mencari sesuatu di dalam timbunan buku. Dicapainya satu buku yang penuh dengan debu. Dihembusnya debu itu perlahan menampakkan tulisannya yang agak kabur untuk dibaca tetapi senyumannya pantas terukir. Dia menghampiri jendela kembali sambil menyelak helaian demi helaian dan akhirnya tangannya berhenti menyelak di satu muka surat.
Syaik Al-Albani mengatakan : “Lelaki dewasa dan merdeka yang pertama kali beriman adalah Abu bakar, dari kalangan anak-anak adalah Ali bin Abi Talib, dari kalangan budak Zaid bin Haritsah”.
Kali ini senyumannya semakin lebar dan dalam masa yang sama matanya kembali terarah melihat sekumpulan kanak-kanak tadi. Ali begitu kecil saat itu untuk memahami apakah itu islam tetapi dia dapat menguasai perkara tersebut dengan cepat sekali. Adakah mereka itu memahaminya? Segala persoalan menyerbu ke dalam kotak fikirannya. Ditutupnya kembali buku itu dan mengeluh kecil. Apakah yang beragama itu masih melakukan suruhan-Nya atau hanya sekadar menjadikan ianya sebagai topeng tanpa menunjukkan wajah sebenar? Adakah manusia yang melakukan solat tetapi masih lagi membuka aurat/tidak berpuasa dan adakah yang menutup aurat/berpuasa tidak pernah melakukan solat? Adakah manusia yang kuat imannya dapat mengawal mulut,tangan,mata dan telinganya dari melakukan larangan-Nya? Dan adakah manusia yang dapat mengawal mulut,tangan,mata dan telinganya adalah seorang yang kuat imannya? Tepuk dada dan tanyalah selera.
Dia kembali ke tempat duduknya. Dengan pantas dia mengambil pensel dan menulis sesuatu. Entah kenapa,tiba-tiba dia mendapat ilham untuk menulis. Tangannya berhenti menulis apabila mendengar laungan azan yang amat menyentuh hatinya. Allahuakbar!! Jerit hatinya dan tatkala itu juga dia mendengar satu jeritan, cepat-cepat dia menghampiri jendela untuk melihat apa yang telah terjadi. Dia bersembunyi sedikit di sebalik jendela supaya tiada siapa yang perasan dengan kehadirannya di situ. Dengan jelas matanya melihat sekumpulan pemberontak mengacukan senjata ke arah kanak-kanak yang sedang ketakutan itu. Ah! Carilah orang yang sesuai untuk berlawan. Jangan gunakan kanak-kanak yang lemah untuk dijadikan mangsa. Pantas dia mencapai bukunya di atas meja dan dengan secepat kilat dia membaling buku tersebut ke arah pemberontak itu. Picu yang ingin dilepaskan terhenti, ketua meraba kepalanya. Sakit. Mereka menoleh ke belakangan ingin tahu perbuatan siapakah itu tapi hampa kerana tiada siapa di situ. Ketua mengarahkan ahli yang lain mencari empunya badan yang membaling buku tersebut. Ditinggalkan kanak-kanak yang sedang menangis ketakutan, mereka melepaskan nafas lega.
Kena solat cepat-cepat ni, bisik hatinya. Dia sudah tahu apa yang akan jadi kalau dia melengahkan solatnya. Saat dia memberi salam, terdengar derap kaki berlari menghampiri tempatnya. Belum sempat dia bangun, dia telah ditarik dengan kasar.
“ikut kami!”, kata ketua sambil anak buahnya menarik dia dengan kasar. Dia bangun dengan perlahan.
“tunggu sebentar, izinkanlah aku untuk mengambil buku tulis ku”, pintanya dengan lembut.
“tak payah!”, jerit ketua.
“sebentar sahaja, aku tidak akan lari kemana-mana”, rayunya. Ketua hanya mengangguk laju,dia tersenyum lalu pergi ke mejanya. Mana buku ni, bisik hatinya.
“sudah! Kita lewat ni,cepat bawa dia pergi”, arah ketua sambil menarik dia keluar dari tempat tersebut dan di bawa ke tempat kurungan. Bermacam ragam manusia yang dia lihat di tempat kurungan tersebut. Semuanya berdoa kepada tuhan masing-masing supaya mereka terselamat dari mimpi ngeri itu.
“assalammualaikum..dari mana asal mu?” tanya dia kepada salah seorang pemuda yang terkurung bersamanya.
“wa’alaikummussalam..aku berasal dari sini. Engkau?” pertanyaan itu dikembalikan kepadanya.
“aku juga berasal dari sini. Boleh aku bertanya, mengapakah dikau sering saja menadah tangan dan berdoa?” pemuda itu memandangnya dengan wajah yang sayu.
“aku ingin memohon keampunan dari Allah supaya mengampunkan segala dosaku. Terlalu banyak dosa ku sebelum ini, rasa takut menjelma pabila tahu ajal mula mendekat”, jawab pemuda itu sambil mengalir airmatanya. Pabila tahu ajal sudah menghampiri barulah ingin menyesal, inilah sifat manusia zaman sekarang, getusnya di dalam hati.
“mengapa dikau tidak melakukan solat taubat sahaja?” tanya dia lagi.
“aku tidak tahu bagaimana untuk bersolat”, pemuda itu menundukkan kepalanya, malu memandang wajahnya. Dia beristifar di dalam hati.
“mari aku ajarkan”, ujarnya. Pemuda itu hanya tersenyum gembira walaupun agak lambat untuk dia mempelajarinya.
Hari demi hari berlalu, tiap detik dia serahkan pada yang Maha Esa. Biarkan DIA yang tentukan hidup mati umatnya, dia redha. Dia memandang sekilas pemuda yang ditegurnya dulu, Alhamdulillah pemuda itu sentiasa khusyuk di dalam solatnya. Moga Allah mengampunkan dosa pemuda itu. Pintu kurungan dibuka mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Sentiasa berjaga menunggu giliran untuk ditarik keluar dan dijadikan mangsa seterusnya.
“hey! Kamu, mari ikut kami keluar”, jari telunjuk di arahkan kepadanya. Dia hanya tersenyum dan berdiri dengan lemah sambil melangkah longlai ke arah mereka.
“tunggu sekejap, saya ditangkap sebelum dia. Mengapakah engkau memanggilnya dahulu?” pemuda itu bingkas bangun cuba mempertikaikan keputusan mereka.
“tidak mengapa wahai pemuda. Aku redha jika ini ketentuan-Nya, doakan kesejahteraan ku”, pintanya terus ditarik keluar. Pintu di tutup. Aimata pemuda itu mengalir, terharu dengan keberanian yang telah dia tunjukkan kepada semua. Doaku sentiasa mengiringi mu wahai sahabat, bisik pemuda itu di dalam hati.
Dia ditolak keras memasuki sebuah bilik kecil hingga tersungkur. Lalu mereka pergi. Dia hanya duduk dan memandang sekeliling. Mulutnya terkumat-kamit membaca kalimah Allah supaya perasaannya tidak dihanyutkan dengan perasaan takut yang mula menguasai diri. Tiba-tiba pintu dibuka, seseorang masuk dan duduk dihadapannya. Dia mengangkat kepalanya sedikit, kedatangan orang itu langsung tidak menganggunya. Mulutnya masih tidak berhenti menyebut kalimah Allah itu.
“apakah yang kamu baca itu wahai orang muda?” tanya ketua. Dia hanya tersenyum lalu menjawab…
“kalimah suci Allah”,
“apakah ini buku tulisan mu?” dihulurkan buku yang hampir koyak kepadanya. Dia mengambilnya dan menyelak satu demi satu helaian. Dia hanya mengangguk lemah. Baru dia teringat, buku inilah yang digunakannya untuk membantu sekumpulan kanak-kanak tempoh hari. Dia mengangkat wajahnya merenung sayu wajah ketua.
“mengapa?” tanya dia kepada ketua. Agak musykil kerana ketua dengan baik hati mengembalikan naskhah itu kepadanya.
“tulisan mu masih belum di tamatkan”,
“jadi?” dahinya semakin mengerut, masih lagi tidak mengerti.
“aku ingin dikau menghabiskannya di sini”, tersentak dia mendengar kata-kata ketua itu. Sukar untuk dia menghabiskan tulisannya itu dalam keadaan selemah itu. Otak pun tidak boleh berfungsi dengan sebaiknya.
“bagaimana ingin aku habiskan tulisan ku ini jika ajal ku sudah memanggil?” ketua itu hanya tersenyum manis sambil membuka gari ditangannya.
“apakah benar apa yang dikau tuliskan itu? Wujudkah syurga dan neraka? Wujudkah nabi kesayangan umat? Dan wujudkah tuhan yang satu?” bertubi-tubi soalan ketua ditujukan kepadanya.
“apa yang aku tuliskan itu adalah benar-benar belaka. Al-Quran itu adalah buktinya dan apa yang kau lihat ini juga bukti kekuasaan-Nya”, jawabnya dengan bangga sekali. Hilang segala penat-lelahnya apabila berbicara tentang agamanya yang satu.
“jika ianya benar-benar belaka, bantulah aku untuk memahami agama mu yang suci lagi murni ini”,
“Alhamdulillah”, senyumannya semakin lebar.
*****
Kakinya laju berlari sambil memeluk erat buku di dadanya. Lariannya semakin pantas tanpa menoleh ke belakang. Bannnggggg!! Langkahnya berhenti dari terus berlari apabila dia mendengar satu das tembakan. Dia menoleh sambil airmatanya mengalir deras. Adakah benar keputusan yang di ambil ini, bisik hatinya.
“pergi, selamatkan diri!” jerit ketua sambil menolaknya keluar dari kawasan itu.
“tidak sesekali! Aku tidak takut untuk menghadapi mati ku ini”, jawabnya dengan tegas, jelas menunjukkan kekuatan iman yang kental tanpa rasa gentar sedikit pun.
“pergi sahabat ku. Jika benar apa yang dijanjikan oleh Allah, aku sanggup berkorban demi untuk menyelamatkan sahabat ku”, dia menggeleng tidak setuju dengan keputusan itu. Ketua masih lagi berkeras untuk dia melarikan diri.
“aku tidak akan meninggalkan dikau sendirian. Masih banyak lagi yang perlu engkau pelajari”, katanya sambil menarik ketua tetapi ditahan.
“dengar sini sahabat ku. Habiskanlah tulisan mu ini untuk dijadikan tatapan anak muda generasi akan datang. Sedarkanlah mereka yang sedang lalai di luar sana. Ajalmu masih belum sampai lagi wahai sahabat ku, engkau masih ada tanggungjawab untuk dilakukan”, hampir mengalir airmatanya apabila mendengar kata-kata ketua itu.
Sekali lagi dia terkejut dengan beberapa lagi das tembakan. Ya Allah, ampunilah hambamu ini kerana tidak dapat menyelamatkan saudara baru ku itu, tangisnya di dalam hati. Dia berjalan lemah memasuki hutan dan berazam akan meneruskan niat sahabatnya itu serta tidak akan mensia-siakan mengorbanan yang telah dilakukan oleh ketua. Doaku sentiasa mengiringi mu wahai sahabat, monolognya sendirian sambil menghilangkan diri di sebalik semak.
*****
Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Pemberontak yang telah bermaharajalela sejak bertahun lamanya telah digulingkan sekali gus kerajaan kembali bertahta. Apa bezanya, bumi kembali menjadi aman dan tenang dari pandangan kasar sahaja. Lama dia berdiri di jendela melihat segala bangunan yang telah musnah kini dibangunkan kembali. Kalimah syukur berkumandang di hatinya. Dia kembali semula ke meja tulisnya, mencapai pensel untuk memulakan karangannya. Alhamdulillah, bukunya semakin mendapat perhatian masyarakat. Mengharapkan apa yang disebarkannya menjadi pengajaran kepada semua agar tidak leka jika berada di kemuncak kerana suatu hari nanti semuanya pasti menyembah bumi kembali.
Tok Tok Tok!!! Bertalu-talu ketukan di pintu. Dia bingkas bangun lalu membuka pintu. Dia terkesima. Dihadapannya sekarang ini berdirinya seorang lelaki yang tempang dan comot sekali. Senyumannya terukir.
“selamat kembali wahai sahabat ku”, airmatanya mengalir sambil memeluk erat seseorang yang pernah membantunya suatu ketika dahulu. Apa yang terjadi adalah ketentuan-Nya.
p/s : kalau "like" ataupun nak "share" sila klik DISINI
p/s : kalau "like" ataupun nak "share" sila klik DISINI
No comments:
Post a Comment