Link Exchange

ikot..jangan tak ikot

Google+ Followers

Sunday, July 29, 2012

Cerpen : Menjelangnya Raya

Views



Terimalah cerpen yang simple dari saya..^_^




~
Menjelangnya raya akan aku jejaki suatu tempat yang aku tidak ketahui dimana. Yang pastinya setiap situasi dan keadaan di situ masih lagi tersemat difikiran ku dan tidak akan aku padamkan walaupun secebis pun. Setiap sorotan mata yang penuh kesayuan menjadi tatapan ku setiap minggu tapi masih jelas mekar senyuman yang begitu ikhlas mengharapkan pengertian dari orang yang tersayang. Malangnya, senyuman yang sedang mekar mula kendur sedikit demi sedikit. Orang yang diharapkan untuk faham pergi tanpa menoleh ke belakang. Mengalah, itu saja jalan yang perlu dihadapi.


“kenapa kita selalu datang sini?” itulah pertanyaan aku kepada papa tiap kali kaki aku menjejaki tempat itu sekali lagi. Sambil tersenyum papa menjawab, “kita nak melawat nenek. Syafiq nak jumpa nenek tak?”. Aku hanya mengangguk. Ya, aku sering merindukan senyuman manis nenek yang menampakkan beberapa batang gigi saja. Tapi, “mana mama, dia tak nak jumpa nenek sekali ke?”. Papa seringkali terkedu tatkala soalan itu diajukan dan seringkali itu jugalah aku tidak pernah mendapat jawapannya. Papa hanya diam seribu bahasa dan dapat aku lihat dengan jelas kesayuan berkaca di mata papa. Aku tidak mengerti.

Kini umur ku sudah menjangkau 12 tahun. Terlalu cepat masa berlalu membuatkan aku tidak sedar makin jauh jurang antara aku dan nenek. Kalau dulu setiap minggu pasti kerinduan aku terhadap nenek terubat tapi sekarang, boleh dikatakan sebulan sekali saja aku dapat melihat wajah tersebut. Setiap kali aku suarakan kepada papa untuk bertemu dengan nenek pasti pelbagai alasan yang diberikan.

“papa kena outstation ni, nanti ada masa kita pergi jumpa nenek yer”.

Semakin lama aku jadi bosan dengan semua alasan tersebut sehingga membuatkan aku terfikir dimanakah letaknya nenek di hati mereka. Aku termanggu keseorangan sambil memikirkan soal nenek. Rinduku sudah menggunung. Imbauan wajah tua yang sering tersenyum membuatkan segala masalah hilang sekelip mata. Gurauan dan cerita nenek jadi peneman tapi ianya hanyalah sementara kerana mengikut masa papa yang sentiasa sibuk.

Berlalunya masa sehingga aku kehilangan papa yang terlibat dalam satu kemalangan. Masih aku ingat, mama menangis teresak-esak sambil menghalau nenek dari mendekati jenazah papa. Wajah yang sarat dengan kesedihan cuba ditahan agar tidak mengeruhkan lagi keadaan. Aku agak tergamam melihat nenek pergi begitu sahaja apabila dimaki hamun oleh mama sepuas-puasnya. Apa salah nenek sampai nenek di layan sebegitu rupa? Aku keliru. Sejak dari itu, kaki ku tidak lagi menjejaki satu tempat yang selalu aku jejaki dulu. Mama membawa aku jauh dari tempat itu tanpa sebarang khabar dan nenek sentiasa menanti di pintu jendela, melihat jika menantu dan cucunya mendakap mesra tubuhnya. Ya, itu hanyalah mimpi semata-mata. Mimpi yang tidak akan kunjung tiba.

Bertahun-tahun sudah berlalu membuatkan aku terlupa sebentar kisah dahulu. Surat yang dilemparkan oleh mama di atas meja menarik perhatian aku untuk membukanya. Bukan kerana sampulnya yang cantik tetapi alamat penghantar yang tertera di belakang surat itu mendebarkan hati ku. Aku mengambil surat tersebut tanpa pengetahuan mama dan membaca isinya. Terkejut bukan kepalang apabila mengetahui nenek sedang sakit tenat di Malaysia. Kenangan yang hampir lupus di ingatan ku kembali mekar sekali lagi. Satu keputusan telah dibuat, aku akan terbang ke Malaysia untuk melawat nenek dan ianya adalah keputusan tekad.

“tak boleh!” kedengaran jeritan mama bergema apabila aku suarakan untuk kembali ke Malaysia apabila sudah bertahun-tahun hidup di Negara orang. Lebih menyakitkan hatinya bila mendengar niat ku untuk kembali adalah untuk menemani nenek.


*****
“mak tak izinkan kau kahwin dengan perempuan tu. Perempuan entah dari mana pun tak tahu”, Sakinah menengking kuat. Shahar terdiam mendengar jeritan emaknya itu. Ini bukan kali pertama emaknya menentang tapi setiap kali soal ini ditimbulkan pasti kemarahan emaknya tidak dapat disejukkan.

“tapi mak, shahar sukakan dia. Shahar tahu dia anak yatim piatu tapi jangan la sampai mak cakap yang dia anak buangan, tak baik mak”, kelantangan Shahar membuatkan hati Sakinah semakin sakit. Kenapa perempuan itu pula dibelanya?

“habis yang kau lawan cakap mak ni baik sangatlah? Mak tak kira, mak nak kau kahwin dengan Shuhada tu juga. Kalau kau lawan cakap mak, jangan panggil aku mak dah!” Shahar terduduk. Sampai begitu sekali emaknya membenci dengan pilihannya. Apa salah Suhaila sehingga emaknya menolak mentah-mentah? Pening kepala untuk difikirkan sehinggakan dia mengambil keputusan untuk kahwin dengan Suhaila tanpa restu emaknya. Dia menghilangkan diri tanpa khabar berita sehinggalah sahabat karibnya memberitahu bahawa emaknya sakit dan perlukan penjagaan. Dia tersepit antara dua orang, isteri ataupun emak kandungnya. Dia tahu, Suhaila masih berkecil hati dengan kisah perkahwinan mereka menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menghantar emaknya ke rumah orang-orang tua. Sakinah menangis apabila mengetahui keputusan anaknya itu dan memohon maaf atas kesilapannya tapi Suhaila tetap berkeras hati, lukanya tidak akan terubat dengan kata maaf tesebut dan membuatkan Shahar terpaksa akur dengan keputusan isterinya.

*****

Imbauan lama membuatkan airmatanya menitis. Dulu suaminya merayu-rayu untuk melawat emaknya kini anaknya pula mengikut jejak langkah si suami. Hatinya sakit sekali. Apa istimewanya wanita itu sehinggakan kelibatnya tidak langsung tidak diendahkan. Dia geram setiap kali suaminya melawat wanita tua itu tanpa pengetahuannya sehingga anak tunggalnya itu beriya-iya mengikut setiap kali suaminya mengajak. Tidak dia lupa akan peristiwa lama bila emak mertuanya itu menghina statusnya yang tidak beribu dan berbapa. Kekurangan itu menyebabkan hasrat untuk membina keluarga yang sempurna hancur berderai. Disebabkan pujukannya akhirnya suaminya itu bersetuju berkahwin tanpa restu emaknya itu. Itulah kejayaan yang paling membanggakan buat dirinya. Menundukkan seorang seorang lelaki terhadap wanita tua yang telah menghinanya. Dendamnya terbalas. Dia ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari apabila suatu hari mereka terserempak dengan seorang sahabat suaminya dan mengkhabarkan tentang tahap kesihatan wanita tua tersebut menyebabkan hidupnya kembali tidak keruan.

“Syafiq akan pergi jumpa nenek juga”, suara aku menyedarkan mama dari kenangan lampau. Renungan tajam mama tidak aku endahkan.

“ingat mama..disebabkan mama, papa jadi anak derhaka. Jangan sampai sebab mama, Syafiq pun jadi anak derhaka juga”, kata ku tegas. Tiada niat untuk melawan kata-kata mama tapi dalam situasi ini, keadaan perlu dijernihkan. Aku pergi mengangkat kaki meninggalkan mama termanggu keseorangan.


Kaki yang ingin melangkah terasa amat berat sekali. Semuanya sudah berakhir, nenek sudah pun kembali ke rahmatullah dengan tenang walaupun dia tahu orang yang diharapkan untuk datang tidak akan muncul hingga dia menutup mata. Dia amat mengharapkan orang itu memaafkannya.

“mak!!!”, jeritan seorang wanita amat mengejutkan semua orang di situ. Aku berpaling pantas kerana aku tahu siapa empunya suara itu. Airmata aku mengalir apabila mama menerpa ke arah pusara nenek dengan penuh sedu-sedan. Semua yang ada di situ cuba menenangkan mama tapi mama meronta minta dilepaskan, perkataaan maaf tidak lekang dari mulutnya. Bak kata perpatah, menyesal dulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna. Perlahan aku mendekati mama dan berbisik…

“mama, nenek dah maafkan mama dari hujung rambut sampai hujung kaki. Dia berterima kasih kat mama sebab jaga anak dia dan beri dia seorang cucu untuk jadi waris keturunan dia. Mama, nenek tahu dia silap dan dia harap sangat mama dapat maafkan dia serta doakan dia dalam solat mama”, mama yang sedang meraung teresak-esak mula senyap perlahan-lahan. Dia berpaling memandang aku minta kepastian. Aku hanya mengangguk lalu tersenyum. Akhirnya senyuman mama terukir jua dan terus memeluk ku erat.

“Syafiq, mama maafkan dia”, bisik mama dalam tangisan. Tangisan yang penuh kegembiraan. Setiap kali menjelangnya raya pasti papa membawa ku melawat nenek di rumah jagaan orang-orang tua dan kali ini menjelangnya raya aku pasti melawat pusara nenek. Mama pun sudah berubah, dia sudah tidak seperti dulu. Hidupnya dipenuhi dengan senyuman dan kegembiraan.


p/s : sempena bulan puasa ni marilah kita buang sikap hasad dengki ataupun sikap dendam ni sebab perkara tu akan merosakkan diri kita di masa hadapan. Mungkin sekarang kita puas tapi anda tidak akan puas jika terkena balasannya nanti..owh ye, sebelum terlupa..janganlah kita berbuat jahat pada orang lain kerana kejahatan itu pasti akan kembali pada kita di masa hadapan..renung2kan dan selamat berpuasa..^_^

Post a Comment