*****
"arghhhhh!" jerit aku sehingga membuatkan Nadia berkejaran menuju ke bilik ku. Di kuaknya pintu bilik dengan aksi cemas.
"kenapa dengan kau? kau okey?" Nadia menghampiri aku. Dibeleknya setiap inci tubuh aku. Okey je minah ni, apa kena menjerit tak tentu pasal tadi. Aku yang sedari tadi melihat reaksinya mula ketawa. Nadia menggaru kepala yang kebetulan gatal. Dia gelak la plak. Nadia makin hairan. Tawa aku yang kuat sebentar tadi direndahkan perlahan-lahan apabila melihat wajah Nadia yang masih "blur". Aku mengeluh perlahan, tidak tahu bagaimana untuk menerangkan apa yang sedang bersarang di hati aku tatkala itu. Aku duduk dibirai katil sambil menepuk tangan di atas katil, tanda aku mahu Nadia duduk di sebelah ku. Nadia menurut dan masih lagi menunggu. Mungkin memberi ruang kepada aku untuk menjelaskan semuanya.
"aku rasa lemah sangat", akhirnya aku bersuara apabila suasana mulai sedikit tegang. Kedengaran bunyi kipas memeriahkan suasana hening ini.
"apa maksud kau?" pertanyaan diajukan kembali pada ku. Aku memandang Nadia yang masih lagi dalam keadaan bertelekung. Pasti dia baru saja menunaikan solat zuhur. Tangan ku di capainya dan digenggam erat, cuba mengurangkan beban yang ku tanggung.
"cuba kau cerita kat aku apa masalah kau yang sebenarnya, mana nak tahu aku boleh tolong kau", pujuk Nadia. Aku hanya tersenyum kelat. Terasa begitu payah mulutku untuk bersuara.
"dalam bulan ni aku cuba berubah dengan sedaya upaya aku tapi dapat aku rasakan dugaan tu terlalu besar buat aku. Dugaan tu datang bila aku dengan manusia, tak kisah la dengan kawan ataupun dengan keluarga sendiri. Aku rasa susah sangat", jelas ku sambil menghela nafas kecil. Rasa puas bila dapat keluarkan apa yang terbuku di dalam hati.
"maksud kau dari segi apa? Memang aku tahu niat kau untuk berubah dan dari segi pandangan aku takde apa pun masalah. Aku rasa kau dah buat yang terbaik", Nadia seakan memberi semangat tapi ianya tidak cukup meyakinkan aku.
"maksud aku, susah sangat aku nak penuhkan solat lima waktu. Aku hanya boleh penuhkan solat bila aku kat rumah sewa je tapi bila balik rumah mesti aku berat sangat nak solat. Tiba-tiba rasa malu menerpa entah kenapa. Kadang-kadang masa keluar dengan kawan, nak je kaki aku ni pergi masjid atau surau tapi bila tengok kawan-kawan aku yang lain niat aku terpatah macam tu je", Nadia hanya tersenyum melihat keluhan ku.
"Memang bagi insan seperti kau bukan senang untuk berubah melainkan kita sematkan keberanian dan keimanan yang secukupnya. Aku tahu, kau bukanlah seperti aku yang mendapat pendidikan islam dari sekolah yang sepatutnya, kau mesti kata aku bertuahkan? tapi tak semestinya orang seperti aku semuanya sempurna. Pastinya mereka juga ada dugaan masing-masing. Seperti aku juga", aku memandang wajah Nadia minta kepastian. Dia hanya mengangguk sambil tersenyum.
"ingat, syaitan itu sentiasa ada untuk menyesatkan kita. Kau kena kuatkan iman dan sematkan keberanian dalam diri kau supaya kau dapat lakukan semuanya dengan mudah tanpa ada rasa pandangan kurang enak dari sekeliling kau", aku hanya mengangguk tanda faham. Mungkin iman aku tidak kuat jadi aku mudah tersungkur sebelum mencuba.
"tapi bila aku nak dekatkan diri pada Allah, aku terasa macam jauh sangat tapi bila jauhkan diri pula rasa macam dia dekat je dengan aku. Perasaan aku je ke tu?" soalan itu yang selama ini bermain di minda ku.
"Allah itu sentiasa mahu menguji dan menduga kita. DIA jauh bukan bermakna kita juga perlu jauhkan diri tapi kita perlu kejar dia seumpama kita tidak mahu kehilangan cinta. Ianya seperti kisah cinta yang pada mulanya dihulurkan cinta harap diterima dan pabila sudah diterima ianya melarikan diri agar kita mengejar untuk menyempurnakan cinta tersebut. Kau boleh faham?" aku terdiam sejenak lalu menggelengkan kepala.
"Allah memberi jalan tatkala kita sesat entah kemana kemudian DIA hilang tatkala kita menerima sinar hidayah-Nya tapi bukan bermaksud DIA membiarkan kita terkontang-kanting tapi memberi kita ruang untuk mengenali apa itu islam yang sebenarnya. Di situ bermulanya dugaan dan ujian dan dari situlah juga kita tahu sikap kita yang sebenarnya. Kuatkah kita? beranikah kita? hebatkah kita? semuanya kita akan tahu. Kesilapan itu sentiasa ada dan belajarlah dari kesilapan tersebut agar di suatu saat nanti kita tak akan pernah menyesal",
"kenapa tiap kali kau terangkan kat aku, kau tak sebut pun walaupun satu hadis?" pertanyaan ku membuatkan dia terdiam. Mungkin sedang memikirkan jawapan yang sesuai diberikan. Dia genggam erat tangan ku.
"kau sahabat aku dan apa yang aku terangkan adalah dari sahabat kepada sahabatnya. Tak perlulah aku menggunakan hadis untuk yakinkan kau. Kalau kau nak lebih yakin tak perlulah dari aku. Tu ha, kalau kau baca pasti kau dapat semua jawapan yang kau nak", mata ku terus terpacak pada Al-Quran yang tersimpan rapi di dalam almari. Lama. Airmata aku hampir menitis.
"dah, jangan menangis. aku tahu kau boleh lakukan semua ni dengan mudah. kuatkan iman, tabahkan hati dan sematkan keberanian. InsyaAllah, dengan izin Allah semuanya pasti berjalan dengan lancar. Allah sentiasa menerima taubat hamba-Nya", aku tersenyum sambil tangan Nadia pantas menyeka airmata aku dari terus mengalir.
"terima kasih", itu saja yang mampu aku suarakan kerana aku sudah pun berada dalam pelukan Nadia. Pelukan semangat yang tak akan aku padamkan. Dari saat itu aku lakukan tanpa ada perasaan malu walaupun berhadapan dengan kawan ataupun keluarga. Sedikit demi sedikit dapat aku rasakan perubahan sahabat aku yang lain kerana mereka meninggalkan aku kerana sikap dan penampilan ku berubah tapi itu tak akan melemahkan aku. Aku berubah bukan untuk dipandang atau dikomen dengan orang yang berada di sekeliling tapi untuk dipandang oleh Allah S.W.T.
~TAMAT~
p/s : rasa macam dah lama tak menulis dan terimalah cerpen pendek dari aku. mungkin isinya sikit je tapi aku harap para sahabat yang baru nak berubah, ubahlah kerana Allah dan abaikan pandangan orang lain. ^_^
No comments:
Post a Comment