Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: “Taqwa kepada Allah dan keindahan akhlak, dan ketika baginda ditanya: “Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?” Baginda menjawab: “Kejahatan mulut dan kemaluan”
*****
Alisya memasuki rumah dengan tergesa-gesa. Langkahnya laju menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Dibantingnya pintu itu sekuat hatinya, hampir bergegar seisi rumah dengan dentuman yang kuat itu. Syahid yang berada di dalam bilik membuka pintu dan menjenguk ke luar, hairan dengan suasana itu. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari bilik dan menghampiri bilik adiknya itu. Ketukan demi ketukan bergema di ruangan bilik Alisya tetapi tidak diendahkan langsung olehnya. Alisya hanya mendiamkan diri, cuba meredakan kemarahannya sebentar tadi. Ketukan bergema kembali.
“Adik, bukalah pintu ni. Kalau ada masalah tak elok buat perangai macam ni. Ceritalah kat abang, mana tahu abang boleh tolong”, kedengaran suara pujukan abangnya itu dari luar bilik. Alisya mengeluh kecil lalu bangun dan membuka pintu apabila memikirkan apa yang dikatakan oleh abangnya itu. Pintu sudah terbuka luas, dilarikan susuk wajahnya daripada pandangan abangnya. Bagi Syahid pula, dia faham benar dengan kerenah adiknya itu. Pasti ada perkara yang tidak memuaskan hatinya.
“kenapa ni? Muka dah macam cencurut lapar je ni”, kata Syahid cuba bergurau tetapi ianya tidak member kesan langsung kepada Alisya. Perlahan-lahan Syahid membelai lembut kepala Alisya.
“Okeylah, apa masalahnya ni? Cuba cerita kat abang”, Alisya mengeluh sekali lagi cuba mengingati apa yang terjadi di kelas pagi tadi.
“Abang kenal Raudhah kan?” Syahid menjawab dengan anggukan. Dia tidak mahu bersuara, takut menghilangkan ‘mood’ Alisya untuk bercerita.
“Alisya rasa dia ada buat guna-guna la kat En. Hisham tu”, terbelik mata Syahid mendengar kata-kata adiknya itu. Inilah kali pertama Alisya berani mengeluarkan perkataan seperti itu.
“Astaqfirullahhala’zim..Alisya, cuba bawa mengucap. Tak elok menuduh orang sesuka hati, boleh jadi fitnah tau. Abang rasa Alisya yang kena guna-guna ni”, Alisya hanya mencebik, tidak berminat dengan gurauan abangnya itu.
“Abang tahu tak, tiap-tiap semester dia je yang dapat perhatian. Dia tu pun bukan pandai sangat pun”, kata Alisya cuba mengawal kemarahannya. Syahid hanya menggelengkan kepalanya.
“Tak elok mengata dia macam tu dik. Mungkin itu rezeki dia,rezeki kita tak tahu bila lagi. Mungkin lebih hebat dari apa yang dia dapat. Kita kena banyak sabar dan tiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Adik tak boleh bercakap sesuka hati, itu sudah dikira mengumpat tau”, nasihat Syahid. Dia tidak mahu kata-kata adiknya itu memakan dirinya sendiri.
Hadis riwayat Ahmad dan Tharani; “Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di depannya, ia harus membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila ia tidak mahu melakukan pembelaan itu, maka Allah s.w.t. akan menghinanya di depan orang ramai”.
“Ala rezeki apa, tiap kali exam dia asyik meniru je”, kata Alisya penuh dengan perasaan ketidakpuashati. Syahid hanya menggelengkan kepalanya. Dia tahu adiknya itu dibelenggu dengan perasaan marah jadi tidak hairanlah kalau adiknya itu mengeluarkan kata di luar jangkaannya.
“Adik ada bukti?” Alisya membisu tetapi kepalanya pantas menggeleng. Syahid hanya tersenyum.
“Adik tahu tak, Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)”, kata-kata itu masih belum dapat mengunci mulut Alisya. Dia masih lagi mahu menegakkan benang yang basah.
“Tapi abang, apa yang adik cakapkan ni semuanya betul”, kata Alisya tegas, masih tidak mahu mengalah.
“Adik,adik…Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?” lalu jawab baginda, “Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!” Kemudian baginda ditanya lagi, “Bagaimana sekiranya apa yang disebut itu benar?” jawab baginda, “Sekiranya apa yang disebut itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi) Jadi, tidak kiralah perkara itu benar ataupun tidak. Ianya tetap berdosa kerana adik telah membiacarakan soal ini dibelakang tanpa mengetahuinya. Adik tahu apa akibatnya?” Akhirnya mulut Alisya terkunci, hanya gelengan kepalanya sahaja yang menjawab soalannya itu. Syahid hanya tersenyum manis kerana telah berjaya melembutkan hati adiknya itu daripada terus melakukan kesalahan.
“Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)”, kali ini Alisya benar-benar terkena. Dia memandang abangnya yang duduk tidak jauh darinya.
“Adik tak ada niat pun nak mengumpat dia. Adik tak puas hati je. Adik tak pernah langsung diberi peluang walaupun sudah berusaha keras tapi nama Raudhah juga yang jadi perhatian”, Syahid tahu, adiknya itu berkecil hati apabila usahanya selama ini tidak dipandang langsung oleh orang sekeliling.
“Jangan disebabkan ketidakpuasanhati adik tu, memakan diri adik sendiri. Kalaulah benar dia membuat kesalahan, dia pasti akan dapat balasannya. Cepat atau lambat, itu saja. Kalau adik berterusan mengumpat macam ni, adik juga yang rugi”, ada kerutan muncul di dahi Alisya.
“Kenapa pula?” tanya Alisya inginkan kepastian.
“Diriwayatkan oleh Abu Ummah Al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab: “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”. Adik nak ke kalau pahala adik berkurang dan menambahkan pahalanya tanpa dia sedar?” Alisya menundukkan dan menggelengkan kepalanya. Malu benar dia dengan sikap yang ditunjukkan di hadapan abangnya itu.
“Maafkan Alisya ye, mungkin bukan rezeki Alisya lagi untuk mendapat tempat yang terbaik kat universiti tu”, kata Alisya dengan lembut. Dia lega kerana Syahid dapat menenangkan hatinya dengan serta-merta.
“Macam itulah adik abang. Abang tahu adik abang ni bijak sangat. InsyaAllah, suatu hari nanti mungkin Alisya akan dapat lebih baik lagi dari apa yang Raudhah dapat tapi ingat jangan sesekali gunakan cara ini sebab mulut itu adalah satu senjata yang sangat tajam,lebih tajam dari pisau. Jadi kalau ada apa-apa masalah tak elok kalau adik bercerita di belakangnya. Kan elok kalau adik merapatkan silaturrahim dengannya, boleh bertukar pandangan. InsyaAllah, berkongsi ilmu itu lebih nikmat”, Alisya hanya tersenyum manis mendengar nasihat abangnya yang panjang lebar itu. Dia mulai sedar dengan kelancangan mulutnya itu yang boleh membawanya ke pintu neraka.
~tamat~
Diriwayat daripada abu hurairah r.a katanya: Rasulullah telah bersabda : “Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknati oleh Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu?” Rasulullah bersabda: “Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukanNya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan menfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan RasulNya dengan fitnah melakukan perbuatan zina”.
p/s : kalau nak"like" ataupun "share"..sila klik DISINI
No comments:
Post a Comment